Apa itu Penyakit Tibi ?

Apa itu Penyakit Tibi

Tibi atau  Penyakit Tuberkulosis adalah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh diubati, walau bagaimanapun, jangkitan boleh berulang semula sekiranya pesakit tidak mematuhi rejim rawatan tibi yang ditetapkan.

Dalam keadaan yang paling teruk, penyakit tibi boleh menyebabkan kematian apabila pesakit tidak mengambil perhatian serius untuk merawat dan mematuhi tempoh rawatan tibi yang telah ditetapkan.   

Bagaimanakah tibi merebak?

Agen Penyakit tibi dan cara jangkitan Penyakit tibi disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Jangkitan kuman Tibi berlaku apabila seseorang tersedut udara yang mengandungi kuman tibi, apabila seseorang pesakit tibi batuk atau bersin dan menghembus keluar titisan air yang mengandungi kuman tibi. Masa pengeraman selepas pendedahan kepada kuman tibi sehingga menunjukkan tanda dan gejala penyakit tibi adalah dari 2 minggu sehingga 10 minggu. 

Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja pesakit tibi lazimnya paling berisiko untuk menghidapinya.

Image result for tuberculosis

Apa itu Penyakit Tibi

Apakah gejala-gejala tibi

• Batuk berkahak melebihi dua minggu atau lebih
• Kahak berdarah
• Demam berpeluh pada waktu petang atau malam
• Mengalami sakit dada khususnya apabila batuk atau menghela nafas panjang
• Hilang selera makan
• Berat badan menyusut
• Mudah letih dan lemah badan.

Langkah pencegahan tibi

• Bayi-bayi yang baru lahir mestilah diberikan suntikan imunisasi BCG
• Dapatkan suntikan dos kedua sekiranya tiada bekas parut dan pada umur 12 tahun
• BCG diberikan percuma di semua hospital serta klinik kesihatan kerajaan untuk mereka yang berumur 20 tahun ke bawah
• Sekiranya batuk berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor untuk menguji kahak anda.
• Ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pesakit tibi dalam tempoh yang lama hendaklah tampil menjalani pemeriksaan.

Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan

• Penduduk miskin yang tinggal di desa mahupun di bandar-bandar
• Pembawa HIV
• Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, buah pinggang
• Pesakit yang mengambil ubat steroid dalam jangka waktu yang lama
• Warga tua.

Baqaimanakah caranya mendiagnos tibi

• Jika mengalami batuk berpanjangan, anda hendaklah melakukan pemeriksaan sapuan kahak di bawah mikroskop bagi mengesan kehadiran kuman tibi. Ujian kahak boleh dilakukan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan berhampiran secara percuma.
• Pemeriksaan sinaran X dada juga boleh menunjukkan kerosakan yang mungkin berlaku pada paru-paru anda.

Rawatan tibi

Rawatan biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan walaupun pesakit berasa sihat dalam tempoh berkenaan. Pada 2 bulan pertama, rawatan harian akan diberikan, biasanya mengandungi sebanyak empat jenis ubat makan yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.

Peringkat rawatan seterusnya dilakukan dua kali seminggu selama empat bulan, biasanya melibatkan tiga jenis ubat, juga diambil di bawah penyeliaan. Jika rawatan ini diikuti secara tetap, pesakit berkenaan boleh disembuhkan.

Apa itu Penyakit Tibi

Tip umum

• Sekiranya anda pesakit tibi yang sedang menjalani rawatan, anda hendaklah mendapatkan rawatan berterusan serta mematuhinya dengan sempurna sehinggalah semuanya selesai
• Rehat secukupnya
• Makan makanan seimbang
• Pastikan badan anda selalu kuat dan sihat supaya dapat menentang kuman-kuman tibi pada sepanjang masa.
• Jangan biarkan diri dikuasai oleh rokok kerana ia hanya memburukkan keadaan
• Banyakkan bersenam
• Buka pintu dan tingkap pada waktu siang untuk peredaran udara yang sempurna bagi mencegah kuman tibi merebak.
• Biarkan cahaya matahari memasuki rumah anda dengan banyaknya kerana ia berupaya membunuh kuman tibi yang terapung-apung di udara dan berselindung di sudut-sudut rumah.
• Elakkan daripada tinggal bersesak-sesak di dalam rumah yang sempit.

Sumber: malaysian association for the prevention of tuberculosis