Fibroid tumbuh tanpa gejala

Fibroid atau istilah perubatannya myoma atau leiomyoma, merupakan ketumbuhan bukan kanser yang kerap berlaku kepada wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun. Penyakit ini dianggap sebagai masalah biasa dalam kesihatan reproduktif wanita.

Image result for fibroid
Saiz dan tempat tumbuh ketulan fibroid berbeza-beza.

Fibroid berlaku sama ada di dalam rahim, luar rahim atau melekat pada dinding rahim dengan saiz yang berbeza-beza antara seorang wanita dengan wanita yang lain. Ia boleh terbentuk sama ada seketul atau berketul-ketul dengan pelbagai bentuk dan saiz.

Dikatakan fibroid lebih banyak ditemui dalam kalangan wanita kulit hitam berbanding wanita kulit putih atau wanita Asia.

Terdapat beberapa faktor yang dikatakan berkait rapat dengan perkembangan myoma seperti faktor kaum, reproduktif, hormon dalaman, obesiti, gaya hidup, persekitaran dan pengaruh lain seperti hipertensi dan jangkitan.

 

dr-raman
Dr. Raman Subramaniam

 

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Janin dan Ginekologi Malaysia, Dr. Raman Subramaniam, ketumbuhan tersebut boleh kekal dalam saiz yang sangat kecil untuk masa yang lama dan pembesarannya juga boleh berlaku secara pantas atau membesar secara perlahan-lahan selama beberapa tahun, selalunya kehadirannya tanpa simptom sehinggalah mereka berusia 45 tahun.

“Dalam kebanyakan kes, ramai pesakit tidak menyedari mereka mempunyai ketumbuhan dalam rahim, kerana kebanyakan fibroid hampir sifar simptom dan mereka hanya didiagnosis dengan penyakit ini secara kebetulan melalui pemeriksaan kesihatan atau pengimejan.

“Namun demikian, ada sebahagian daripada pesakit mengalami pelbagai simptom dan kalanya dapat dikesan jika wanita terbabit menyedari adanya masalah. Antaranya, seperti haid yang terlalu banyak, tekanan pada pundi kencing, dan senggugut yang melampau.

“Gejala-gejala yang lain adalah pendarahan pada vagina, anemia, sakit pada abdomen atau sakit belakang, keguguran, dispareunia, dan kemandulan.

“Meskipun fibroid tidak berbahaya dalam kebanyakan kes, keadaan tersebut sebenarnya mendatangkan ketidakselesaan. Kajian terhadap 21,000 wanita di lapan buah negara menunjukkan, gejala yang dialami mereka memberi impak yang negatif terhadap prestasi seksual sebanyak 43 peratus, 28 peratus menyokong ianya mengganggu keupayaan di tempat kerja dan 27 peratus menyatakan penyakit ini mengganggu hubungan antara pasangan dan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Zuellig Pharma’s Ulipristal Acetate (UPA) 5mg di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Dr. Raman, pengurusan pesakit terhadap rawatan semakin memberangsangkan berbanding 30 tahun yang lalu kerana wanita-wanita moden lebih banyak membaca dan pantas mengetahui sebarang perubahan yang berlaku pada diri mereka.

Fibroid yang tidak menyebabkan sebarang gejala, bersaiz kecil, atau berlaku dalam kalangan wanita yang hampir menopaus kebanyakannya tidak memerlukan rawatan.

Namun, bagi pesakit yang mempunyai simptom, mereka mempunyai pilihan rawatan seperti ubat-ubatan, pembedahan atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pada tempoh 10 tahun yang lalu prosedur pembedahan menjadi pilihan kepada pesakit seperti pembedahan myomektomi atau pembedahan histerektomi.

“Bagi prosedur myomektomi, pembedahan membuang fibroid di dalam rahim dilakukan bagi memelihara kesuburan. Fibroid tersebut tidak akan tumbuh selepas pembedahan, tetapi fibroid baharu boleh muncul di mana pembedahan lain mungkin diperlukan lagi.

“Prosedur histerektomi pula adalah kaedah rawatan yang membuang rahim dan ovari. Pilihan sama ada untuk dibuang atau tidak bergantung kepada keadaan individu itu. Prosedur ini akan dijalankan jika rawatan lain tidak membantu pesakit atau pilihan terakhir bagi mereka yang mempunyai fibroid yang bersaiz besar. Seseorang wanita itu tidak dapat hamil selepas melakukan kaedah histerektomi,” kata Dr. Raman.

Sumber : Utusan Malaysia

error: Content is protected !!