Tanda Awal Serta Punca Kanser Mulut

Tanda Awal Serta Punca Kanser Mulut

Penjagaan mulut amat penting bagi memastikan wujudnya keseimbangan tahap kesihatan seseorang individu. Janganlah ambil mudah tentang soal penjagaan kebersihan mulut, ia boleh menyebabkan punca terjadinya kanser yang serius.

tanda-awal-dan-punca-kanser-lidah

 

Kebanyakan masyarakat kurang memberi perhatian terhadap penjagaan mulut kerana beranggapan penyakit lain seperti kanser payudara dan jantung adalah lebih serius. Akhirnya mereka mudah terdedah kepada penyakit kanser mulut yang turut memberi kesan kepada kehidupan.

Kita nampak aspek penjagaan gigi kurang penting berbanding kesihatan lain, tetapi kalau gigi sakit, ia boleh menjejaskan emosi dan menganggu tumpuan kerja.

Kanser terjadi apabila struktur genetik (DNA) yang mengawal pertumbuhan sel-sel badan anda mengalami perubahan dan mutasi. Akibatnya, pertumbuhan sel-sel itu tidak lagi dapat dikawal oleh badan menyebabkan kemunculan sel-sel kanser. Sel-sel kanser ini kemudiannya akan membesar dengan cepat untuk membentuk tumor.

Kanser mulut merupakan kanser yang ke-sebelas paling kerap dikesan di Malaysia, di mana dua kes baru kanser mulut dikesan setiap hari. Di Malaysia, kanser mulut paling banyak dikesan di kalangan kaum India dan diikuti kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Tanda Awal Serta Punca Kanser Mulut

TANDA-TANDA AWAL KANSER MULUT

1) Satu ulser atau sakit di dalam mulut yang tidak sembuh selepas 2 minggu
2) Gumpalan pada mana-mana bahagian mulut
3) Ketulan di leher lebih daripada 3 minggu
4) Kesukaran menelan, bercakap dan mengunyah
5) Kebas kawasan lidah atau bahagian lain mulut
6) Sakit tekak atau serak lebih 6 minggu
7) Bengkak rahang menyebabkan gigi palsu menjadi tidak selesa
8) Berlaku pendarahan, sakit dan berat badan mungkin menyusut.

 

PUNCA KANSER MULUT

Seseorang individu sering diserang ulser berpanjangan di dalam mulut yang biasanya berpunca daripada tabiat merokok, makan sirih dan mengambil minuman keras.

Mereka yang berisiko menghidap kanser mulut antara umur 30-an hingga 60-an.

1. Merokok

Seperti yang diketahui umum, beberapa bahan dalam rokok adalah “carcinogen” iaitu ejen yang menyebabkan kanser. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hampir 60% daripada pesakit yang menghidap kanser mulut adalah perokok. Semakin banyak dan semakin lama anda merokok, maka semakin tinggilah risiko anda untuk mendapat kanser mulut.

Tanda Awal Serta Punca Kanser Mulut

 

2. Tembakau dan sirih

Amalan mengunyah sirih dan tembakau juga berkaitan dengan peningkatan risiko kanser mulut di India, Sri Lanka dan Asia Tenggara. Pengambilan sirih dan kapur, gambir, buah pinang dan sebagainya juga mengandungi “carcinogen” yang boleh menyebabkan kanser.

3. Alkohol

Tabiat mengambil minuman beralkohol dengan kerap meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser mulut sehingga 2.5 kali ganda atau sebanyak 155%. Risiko mendapat kanser mulut akan meningkat sehingga 5 kali ganda sekiranya anda seorang peminum alkohol tegar.

Pengambilan alkohol dan tembakau (rokok atau kunyah) yang diambil bersama-sama dengan kerap boleh meningkatkan risiko mendapat kanser mulut berkali-kali ganda lagi.

4. Human papilloma virus (HPV)

HPV adalah sejenis virus penyakit kelamin yang boleh tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan. Virus ini terutamanya HPV 16 dan 18 boleh menjangkiti bahagian mulut kerana kulit di bahagian kelamin dan mulut tidak banyak bezanya dari segi struktur. Virus ini dikaitkan dengan kes-kes individu-individu yang menghidap kanser mulut tetapi tidak merokok dan mengamalkan pengambilan minuman beralkohol.

5. Radiasi

Radiasi dari sinar matahari, sinar X dan gamma juga boleh menyebabkan sel-sel mengalami mutasi sekiranya anda terdedah kepada sinaran-sinaran tersebut untuk jangka masa yang lama. Amalkan memakai ‘sunscreen’ pada kulit atau pelembap bibir yang mengandungi pelindung sinar UV [Sun Protection Factor (SPF)] jika anda selalu terdedah kepada sinar matahari untuk jangka masa yang lama.

6. Diet

Walaupun kaitan makanan dengan kanser mulut tidaklah sekukuh merokok dan alkohol, terdapat beberapa kajian yang mendapati pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, terutamanya yang mengandungi karotin (contohnya lobak merah, tomato dan buah oren) boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser mulut.

Malangnya, di Malaysia, ramai pesakit yang telah berada pada tahap teruk apabila dikesan menghidap kanser mulut. Hampir 70% kes yang dikesan di hospital-hospital di Malaysia telah berada pada Tahap III dan IV yang menyebabkan kurang dari separuh daripada jumlah pesakit yang dikesan menghidap kanser mulut akan dapat hidup lebih dari 5 tahun selepas kanser dikesan.

Tanda Awal Serta Punca Kanser Mulut